Setelah dua hari pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac 2020, bermula Ahad 22 Mac 2020, pihak Tentera akan bantu polis untuk buat menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mula dikerahkan bermula Ahad ini bagi membantu polis dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meskipun anggota ATM digerakkan namun ia bukan situasi darurat di negara ini.
“Polis telah melaporkan terdapat peningkatan pematuhan arahan tersebut daripada rakyat jadi kita berharap dapat melihat lebih lagi apabila tentera digerakkan kelak.
“Namun, terdapat kes individu yang masih tidak mengendahkan arahan tersebut, buat masa ini hanya nasihat dan tindakan berhemah dilakukan,” katanya dalam sidang media, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ismail menafikan dakwaan berita palsu bahawa beliau akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya perintah darurat dilaksanakan.
“Tiada dalam perancangan kerajaan pun untuk umumkan darurat, tiada aset tentera yang digerakkan pun buat masa sekarang seperti berita palsu yang ditularkan di laman media sosial,” jelasnya lagi.
Ringkasan Sidang Media Khas Menteri Pertahanan
- 46 Rakyat Malaysia di Iran dan 94 orang di Itali akan pulang minggu hadapan dan terus dikuarantin
- Polis boleh mengambil tindakan terhadap individu yang sakit tetapi tidak melaporkan keadaan mereka
- Semua pekerja Malaysia di Singapura boleh bekerja seperti biasa dengan syarat tinggal di republic itu dalam tempoh perintah kawalan pergerakan
- Mereka yang telah pulang ke kampong, perlu kekal di kampong
- Jangan persoalkan kuasa polis dan tentera dalam hal keselamatan negara
- Kerajaan tidak merancang untuk umumkan darurat
- Seramai 4000 orang ahli tabligh masih belum tampil secara sukarela untuk buat pemeriksaan
- Majikan tidak boleh memaksa pekerja mengambil cuti tanpa gaji semasa tempoh perintah kawalan pergerakan
- Kerajaan akan tanggung kos makanan IPTA/IPTS yang tidak dapat pulang ke kampong
- Sekatan jalan raya oleh pihak polis akan diteruskan,11000 kenderaan telah diperiksa sehingga semalam