Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor, Sabah dan beberapa kawasan di negeri lain dilanjutkan sehingga 14 Jan 2021, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
Keputusan itu dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini selepas kes Covid-19 di Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah mencatatkan 15,816 kes terkumpul dalam tempoh dua tempoh minggu lalu.
Dari jumlah tersebut, Selangor adalah penyumbang tertinggi kes Covid-19 dengan 8,194 kes, diikuti Kuala Lumpur (4,379) dan Sabah (3,243).
Ismail Sabri berkata di Selangor, PKPB meliputi seluruh negeri termasuk Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor, yang sebelum ini diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
Bagi negeri lain, PKPB akan dilanjutkan di Mukim 12 Barat Daya dan Mukim 13, Daerah Timur Laut di Pulau Pinang; Ipoh dan Chemor di Perak; Seremban di Negeri Sembilan; Johor Bahru dan Batu Pahat di Johor.
Sementara itu, Ismail berkata PKPB di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Kulai, Johor tamat hari ini.
PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah pada mulanya dijadualkan tamat pada 31 Dis.
Sementara itu, Ismail berkata perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Depot Tahanan Imigresen Langkap dan Kuarters Daerah Hilir Perak serta Penjara Kluang dan Kuaters Penjara Kluang yang akan tamat pada 31 Dis dilanjutkan selama dua minggu berikutan lonjakan Covid-19.
Ismail juga mengumumkan PKPD akan dikenakan di Madrasah Daruil Naim, Padang Halban di Kota Bharu, Kelantan setelah 29 kes Covid-19 dikesan.
Begitu juga PKPD akan dikenakan di Kg Paginatan dan Kg Maringkan, di Ranau, Sabah bermula dari 29 Dis hingga 11 Jan 2021 setelah 89 orang diuji postif Covid-19.
Sementara itu, Ismail berkata PKPD di Penjara dan Kuarters Penjara Seremban tamat hari ini, manakala PKPD di Kampung Dasar Baru dan Kampung Bajau di Lahad Datu akan berakhir esok.
Sumber : MalaysiaKini