Bisnes

Malaysia Tidak Iktiraf Mata Wang Kripto

Malaysia tidak iktiraf mata wang kripto seperti Bitcoin dan Ethereum sebagai mata wang yang sah untuk digunakan dalam urus niaga.

Dalam satu sidang media, Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa menyatakan, mata wang kripto bukanlah instrument pembayaran yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM)

Selain itu beliau berkata, “Mata wang kripto tidak sesuai digunakan sebagai instrumen pembayaran disebabkan mata wang ini tidak menunjukkan ciri universal wang.”

“Secara umumnya, mata wang kripto bukan penyimpan nilai dan medium pertukaran yang baik disebabkan keadaan mata wang kripto yang terdedah kepada turun naik harga yang tidak menentu dan pendedahan kepada ancaman siber dan kekurangan daripada segi boleh skala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ahli parlimen Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang bertanyakan pendirian kerajaan berkenaan penggunaan mata wang kripto dalam urus niaga harian.

Menurutnya lagi, aset digital seperti mata wang kripto itu dapat dikeluarkan oleh syarikat untuk tujuan pengumpulan dana.

Walau bagaimana pun perkara ini, ia tertakluk kepada penerbit yang memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC), seperti diperuntukkan di bawah Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019.

Yamani Hafez juga memaklumkan, walaupun mata wang kripto tidak diiktiraf negara ketika ini, BNM serta bank pusat di beberapa negara lain sedang mengkaji kewajaran mengeluarkan mata wang digital bank pusat (CBDC).

Ia berikutan landskap pembayaran dan mata wang kripto yang cepat berubah, selain kemajuan teknologi dan kadar pendigitalan yang semakin pesat mendorong peningkatan penggunaan pembayaran secara digital.

“Pada masa ini, BNM belum memutuskan bagi mengeluarkan CBDC dalam masa terdekat.

“Di Malaysia, sistem pembayaran domestik, termasuk Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (RPP) terus beroperasi dengan selamat dan cekap untuk menyokong keperluan ekonomi, sekali gus membolehkan pembayaran digital masa nyata.

“Selain itu, sistem kewangan di Malaysia terus menyokong fungsi ekonomi di samping memenuhi keperluan individu dan perniagaan.

“Namun begitu, BNM akan terus menilai secara aktif potensi CBDC untuk mencapai objektif dasar awam,” katanya.

 

Pada ketika ini, banyak program-program pelaburan yang berteraskan kepada mata wang kripto ini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Selain menjanjikan pulangan yang lumayan dalam masa yang singkat. Namun begitu orang ramai perlulah lebih berhati-hati, mendapatkan maklumat yang sahi dan tidak mudah terpenggaruh dengan apa-apa jua jenis pelaburan tanpa usul periksa dan ilmu yang betul.

Source : Berita Harian

Sertai channel telegram untuk dapatkan informasi terkini dan menarik
Share
OhKunak

Berkongsi bacaan santai tetapi penuh dengan fakta menarik,teknologi isu semasa dan terkini. Terima kasih kerana sudi membaca artikel kami. Tanpa pembaca siapalah kami

Recent Posts