MA63: Kelulusan Sebulat Suara Usul Tergempar Bukti Iltizam Kerajaan Sabah

KOTA KINABALU: Kelulusan secara sebulat suara usul tergempar bagi menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin jelas membuktikan kerajaan Sabah memberi komitmen penuh untuk merealisasikan perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Aktivis Sosial dan Hak Asasi Manusia Sabah Datuk Patrick Sindu.

Beliau berkata kesepakatan semua anggota DUN menyokong pindaan itu, yang sebelum ini dibentangkan di parlimen, juga membuktikan iltizam wakil rakyat Sabah untuk terus berusaha mengembalikan status negeri ini dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata dengan Semenanjung.

Bagaimanapun, Patrick turut mencadangkan ADUN Sabah sepakat mengadakan mesyuarat tergempar bukan sahaja bagi menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan tetapi juga mengkaji semula kesemua aspek MA63 bagi mengeluarkan resolusi lebih konkrit berhubung perkara itu.

“DUN Sabah meluluskan usul menyokong pindaan itu adalah langkah pertama dan langkah kedua perlu mereka (wakil rakyat) lakukan adalah mengkaji semula seluruh aspek MA63 kerana masih ada dalam perjanjian itu tidak dipatuhi termasuk mengenai cukai, hasil dan sumber seperti termaktub dalam Perkara 20.

“Saya berharap ada (konsep) rakan kongsi sama rata dalam satu gagasan Malaysia ini dan berharap ia (kajian semula MA63 dan pindaan perlembagaan) dapat diadakan secepat mungkin dalam tahun ini seperti diaspirasikan oleh rakyat Sabah dan selaras dengan manifesto kerajaan negeri,” katanya kepada Bernama, semalam.

Kelmarin, ADUN Karanaan Datuk Masidi Manjun ketika membentangkan usul berkenaan berkata usul itu bertujuan memastikan ahli parlimen di Sabah meneruskan usaha berunding dengan pihak berkenaan bagi melaksanakan pindaan tersebut di parlimen secepat mungkin.

Masidi berkata usul itu juga adalah simbolik bagi Sabah dalam usaha mendapatkan semula status Sabah sebagai rakan kongsi sama taraf dengan Sarawak dan Semenanjung sejajar MA63 menerusi pindaan perlembagaan bagi mengembalikan peruntukan asal digubal pada 1963 dan dipinda pada 1976.

“Oleh itu, saya berharap selepas ini semua ahli parlimen dari Sabah mengambil kira suara semua ADUN Sabah agar usaha berterusan dapat dilakukan bagi merealisasikan usaha berkenaan,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Patrick berkata, ini adalah masanya untuk Sabah dan Sarawak bekerja berpasukan bagi memudahkan proses memulihkan semula status rakan kongsi antara kedua-dua negeri dengan Semenanjung, apatah lagi, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menunjukkan komitmen terhadap usaha berkenaan.

Sementara itu, Penasihat MA63 kepada kerajaan Sabah Zainnal Ajamain berkata kelulusan secara bulat yang dicapai dalam persidangan DUN Sabah itu juga membuktikan suara dan permintaan rakyat Sabah adalah jelas supaya pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dibacakan semula di parlimen.

“Ini sudah kuat dan jelas. Permintaan (supaya pindaan dibacakan semula di parlimen) itu adalah dari negeri Sabah serta rakyat Sabah sendiri dan bukan daripada individu mahupun ketua menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Zainnal berharap wakil rakyat Sabah dan Sarawak di parlimen supaya mengundi sama ada menyokong atau tidak menyokong apabila pindaan berkenaan dibentangkan semula di parlimen.

“Jika mereka (wakil rakyat) ingat apabila tidak menyokong (pindaan itu) bukan bererti mereka boleh lepas daripada membuat sesuatu yang salah, kerana apabila mereka tidak menyokong, bererti mereka menyokong keadaan yang ada sekarang,” katanya.

Pada 9 April, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua dalam usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam MA63, namun RUU itu gagal menerima undi dua pertiga atau 148 undi yang diperlukan.

Hanya 138 ahli parlimen menyokong manakala 59 termasuk wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak tidak mengundi. — Bernama

Sertai channel telegram untuk dapatkan informasi terkini dan menarik

Leave a Reply