•  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

HELAH penagih berpura-pura pengsan bagi mengelak dicekup polis gagal apabila dia ditahan dalam serbuan di rumah di Kampung Kunak Tiga, Kunak, hari ini.


Dalam kejadian 10.44 pagi itu, anggota polis terpaksa memikul suspek berusia 22 tahun ke kenderaan sebelum akhirnya dia sedar.


Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir berkata, pihaknya yang sedang menjalankan operasi ‘Double Dose’ bertindak menjalankan serbuan di rumah suspek.


Katanya, ketika serbuan dijalankan suspek dilihat sedang terbaring di luar rumah berkenaan.


“Anggota polis kemudian menjalankan pemeriksaan ke atas beg silang yang dipakai suspek.


“Pemeriksaan itu menemui satu kotak hitam berisi sembilan paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 5.12 gram bernilai RM768,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Baharin berkata, polis terpaksa memikul suspek ke kenderaan polis selepas suspek berpura-pura pengsan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah Methampetamine.


“Suspek turut memiliki lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah sejak 2015 hingga tahun lalu,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15(1)(a) akta yang sama. – Harian Metro