•  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

TERLALU minat dengan burung kakaktua hingga ada yang sanggup mengeluarkan belanja besar hingga mencecah RM150,000 bagi memiliki seekor burung jenis berkenaan.

Bagi Datuk Samsu Anuar Nawi, 51, apabila terlalu minat, soal wang tidak menjadi penghalang walaupun ada menganggap ia merugikan.

Menurutnya, harga burung kakaktua mengikut spesies dan kebanyakannya dijual di peringkat anak.

Katanya, ada beberapa individu di negara ini terbabit membiakkan anak burung berkenaan secara semula jadi dalam kurungan.

Beliau kini memiliki tiga burung kakaktua spesies Parrot Kelabu Afrika dan Sun Parakeet berusia antara lima bulan hingga setahun yang dibeli dengan harga lebih RM6,000.

TENGKU Nursyuhada bersama burung kakaktua miliknya.

“Sifat manja, jinak dan kebolehan bercakap menjadi pendorong kuat untuk saya mengambil keputusan memiliki burung jenis berkenaan yang dibekalkan seorang rakan yang terbabit dengan aktiviti membiak burung jenis itu.

“Saya berasa terhibur dan tenang apabila pulang ke rumah disambut burung kakaktua yang begitu manja dan jinak sambil berbunyi, penat bekerja seharian hilang apabila dapat bermain dengan burung dalam masa 15 hingga 30 minit.

“Burung kakaktua perlu sentiasa dibelai bagi memastikan ia sentiasa manja dan mesra dengan pemiliknya termasuk ahli keluarga,” katanya selepas menyertai pameran burung kakaktua di Mini Zoo Taman Teruntum di sini, kelmarin.

Beliau yang juga penasihat kelab Tok Gajah Parrot berkata, sebelum ini, harga burung kakaktua mahal kerana diimport dari beberapa negara di Amerika Selatan. Namun, kini harganya semakin turun selepas ia berjaya dibiak di negara ini.

Samsu Anuar berkata, jangka hayat burung jenis berkenaan panjang dan mudah dijaga.

ANAK kakaktua yang dibiak di Malaysia.

Beliau mendakwa, ia tidak mudah dijangkiti penyakit kerana memiliki ketahanan daya melawan penyakit yang tinggi.

Bagi Tengku Nursyuhada Tengku Badarishah, 32, dia mempunyai empat burung kakaktua jenis Eclectus dan Sun Parakeet yang dibela sejak setahun lalu dibeli dengan harga lebih RM3,000.

“Saya dan suami mempunyai minat yang sama dan kami tidak ada masalah dalam menjaga burung kakaktua.

“Keistimewaan lain ada pada burung kakaktua ialah ia akan kembali kepada pemiliknya apabila dilepaskan,” katanya yang berhajat untuk memiliki beberapa spesies lain selepas ini.

Katanya, kelebihan lain yang terdapat pada burung kakaktua ialah warna bulunya yang terang dan menarik, sebagai contoh spesies Sun Parakeet memiliki bulu berwarna kuning, merah, hijau dan oren.

“Setiap hari saya dan suami turut mengajar burung berkenaan bercakap dengan menyebut beberapa perkataan yang mudah disebut seperti selamat pagi, tidur, makan, apa khabar dan memberi salam.

“Saya terhibur setiap kali melihat burung peliharaan yang aktif dan sihat, hati saya tenang dan gembira melihat gelagatnya,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Harian Metro