JOHOR BAHRU: “Ini peluang kedua kami. Saya tidak mahu terus ditipu ejen,” ujar warga Indonesia, Ira Ahmad, 38, antara ribuan warga asing yang berkampung dan berkhemah di perkarangan Wisma Persekutuan di Jalan Ayer Molek di sini, sejak empat hari lalu.
Ira dan suaminya, Amir Wahyudi, 50, antara warga asing berstatus pendatang asing tanpa izin (Pati) mengambil peluang menerusi program Pulang Ke Negara Asal atau Back For Good (B4G) dijalankan Jabatan Imigresen.
Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati warga asing termasuk berasal dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Filipina berkampung di kawasan itu bagi mengambil peluang program pemutihan dilaksanakan kerajaan.
Selain tidur beralaskan tikar, mereka turut mendirikan khemah bagi mengelak terdedah panas matahari berikutan tidak mempunyai tempat tinggal.
Kebanyakan mereka bermalam sejak 24 Disember lalu bagi mendapatkan angka giliran sebelum menjalani beberapa proses dan penyediaan dokumen ditetapkan menerusi program itu.
Pemerhatian di pintu masuk bangunan itu tertera perkataan waktu operasi B4G dari Ahad hingga Khamis pada jam 8 pagi hingga 12 tengah malam manakala Jumaat dan Sabtu pada jam 8 pagi hingga 6 petang.
Ira berkata, dia yang bekerja sebagai buruh binaan bersama suaminya mengambil peluang disediakan kerajaan untuk pulang secara sah.
Katanya, mereka sedar kesan jika terus berada di negara ini sebelum nekad menyertai program B4G meskipun dikenakan kompaun RM700 seorang.
“Saya bersyukur kerajaan Malaysia memberi peluang kedua kepada kami pulang secara sah, meskipun terpaksa melalui prosedur dokumentasi.
“Kami tidak lagi bimbang masuk ‘kosong’ dan kini boleh pulang dengan selamat menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada 30 Disember ini.
Dia yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia berkata, dia bersama suami datang secara sah dari Terminal Feri Batam ke Terminal Feri di Stulang Laut, tahun lalu.
Katanya, dengan bayaran RM6,500, dia dan suami dijanjikan ejen pekerjaan di negara asal untuk bekerja di negara ini tanpa permit.
“Bagaimanapun setibanya di negara ini melalui Stulang Laut, ejen terbabit ghaib menyebabkan kami hilang punca hingga terpaksa bekerja secara haram.
“Sepanjang tempoh itu kami sering dipergunakan majikan hingga tidak menerima bayaran gaji berbulan-bulan,” katanya.
PESERTA program B4G dikenakan kompaun RM700 seorang.
Katanya, kedatangannya tanpa permit menyebabkan dia dan ribuan warga asing dipermainkan orang tengah yang melarikan wang gaji.
“Gaji yang kami harapkan untuk menyara anak-anak dan keluarga di kampung hilang begitu saja.
“Mahu mengadu kami dalam dilema kerana tindakan itu akan menjerat diri kami dan ditangkap sebelum dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Katanya, program itu mensyaratkan Pati membawa pasport serta membeli tiket perjalanan pulang, manakala pasangan sudah berkahwin perlu menunjukkan rekod diperakui.
“Kami diminta melalui proses ditetapkan dan membayar kompaun RM700 dikenakan kepada setiap PATI,” katanya yang juga ibu kepada tujuh anak.
Turut berkongsi nasib sama, warga Bangladesh, Md Shahalom, 30, yang turut bersyukur diberi peluang secara sah melalui program terbabit.
Katanya, dia yang berasal dari Dhaka, Bangladesh datang ke negara ini menerusi penerbangan pada 2014.
“Sepanjang tempoh itu, dia bekerja sebagai tukang paip dengan gaji sekitar RM1,800 termasuk kerja lebih masa.
“Sepanjang tempoh itu dua kali saya dipermainkan orang tengah yang melarikan duit hasil titik peluh bekerja di negara itu,” katanya.
Katanya, pernah gajinya bernilai RM7,000 untuk tempoh berbulan-bulan lesap angkara ditipu pihak berkenaan.
All copyrights for this article are reserved to Harian Metro