•  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

ALOR SETAR: Harga bawang yang meningkat hampir lima kali ganda kebelakangan ini memberi kesan kepada peniaga dan pengguna.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar dan kedai runcit di sekitar bandar ini mendapati bawang merah dijual antara RM12 hingga RM15 sekilogram.

Seorang peniaga runcit, Zaiton Saad, 55, berkata, dia terpaksa menjual bawang merah dengan harga RM1.20 setiap 100 gram.

Menurutnya, ada pelanggan membatalkan hasrat membeli selepas melihat harga RM12 untuk sekilogram.

“Tiada apa yang dapat dilakukan kerana saya juga membeli dengan harga mahal, kadang-kala lima ulas bawang kecil sudah mencecah RM1.80,” katanya.

Tinjauan di pasar berkenaan juga mendapati harga bawang besar dan bawang putih turut naik iaitu RM7 bagi bawang besar dan RM10 sekilogram bagi bawang putih.

Pemborong, Tan Gim Teong, 45, mendakwa harga bawang kali ini paling tinggi dalam tempoh 10 tahun.

“Bawang merah saya jual dengan harga lebih RM10 seguni kecil seberat antara 1.2 hingga 1.4 kilogram, bawang besar pula RM5 lebih sekilogram dan bawang putih RM7.20 sekilogram.

“Hanya bawang dari Belanda murah sedikit iaitu RM16.50 bagi setiap seguni seberat lapan kilogram,” katanya.

Suri rumah, Sarina Said, 42, berkata, dia kini hanya menggunakan bawang dari Belanda menggantikan semua jenis bawang dari India untuk memasak.

“Kecuali bawang putih saya guna sikit saja kerana harganya juga mahal, sudah dua bulan saya berjimat cermat menggunakan bawang,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Harian Metro